KUALA LUMPUR – Penyanyi Adibah Noor pelik apabila beberapa selebriti diserang hanya kerana mereka memberi pendapat berkenaan isu semasa dan politik.
Malah jelas penyanyi lagu Terlalu Istiewa itu, serangan yang dilontarkan kebanyakannya bernada sama pula.
“Bila artis bersuara, mulalah depa guna template yang sama untuk hentam artis itu cukup-cukup.
“Artis itu akan dilabel propembangkang, ‘bukan bidang kau maka jangan nak pandai-pandai’, dah sendu maka nak cari publisiti murahan,” katanya di laman sosial Twitter miliknya, sebentar tadi.
Segala serangan itu, kata penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu lagi, seolah-olah menggambarkan mereka tiada hak langsung untuk bersuara.
Pada 5 Disember lalu, penyanyi terkenal Sheila Majid meluahkan pandangannya tentang keadaan ekonomi negara seperti nilai ringgit yang lemah serta harga barang yang mahal menyebabkan rakyat merasa marah.
Sheila juga menggesa pihak yang bertanggungjawab agar berhenti berdolak-dalih, sebaliknya menumpukan perhatian untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.
Keluhan Ratu Jazz Malaysia di Twitter itu mengundang reaksi ramai, termasuk selebriti dan ahli politik, mendapat reaksi negatif yang bernada keras.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkannya sebagai “meroyan” akibat sudah terbiasa hidup mewah manakala Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula berkata Sheila bukan pakar ekonomi, bukan bidangnya untuk memberi pandangan dan tidak mendapat maklumat yang tepat.
Di sebalik serangan terhadap selebriti, Adibah berkata, rakyat yang mengikuti pandangan mereka bijak membuat penilaian sendiri.
“Anda tahu, ramai netizen yang baca ruang komen itu adalah jauhari dan pengundi berdaftar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Saya merasa Malaysia bukan lagi sebuah negara yang demokrasi … di mana rakyat tidak boleh bersuara untuk memberi pendapat terhadap situasi sebenar yang berlaku.. tetapi perlu diingat, kuasa rakyat melebihi dari kuasa seseorang pemimpin.. sejarah punyai bukti mau di luar atau di dalam negeri.. cuma hari ini Allah masih memberi peluang kepada kerajaan yang memerintah, maka ingatlah wahai pemimpin2 yang ada hari ini, jangan sampai Allah turunkan murka Nya..