Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Keberanian Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian menolak pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel yang mahu menjadikan Baitulmaqdis  ibu negara Israel menerima pujian pimpinan UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pendirian Perdana Menteri membuktikan Malaysia tidak tunduk kepada AS walaupun mempunyai hubungan dua hala yang baik dan tidak akan berkompromi dalam hal ehwal Islam.

“Kita ada pemimpin yang berani walaupun kita tahu kita ada hubungan yang baik dengan AS tapi bagaimana presiden yang kata tadi kita bukan nak jadi parti yang berjuang untuk Islam dalam negara ini sahaja,” kata beliau semasa ditemui selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.

Jelasnya, pendirian Presiden UMNO itu juga menunjukkan keberanian Malaysia dalam memperjuangan keadilan untuk negara Islam lain sama seperti yang ditunjukkan dalam isu masyarakat Rohingya yang ditindas di Myanmar.

“Itu menunjukkan keberanian kita, kita juga buktikan dengan pendirian berhubung isu Rohingya,” ujarnya.

Najib semasa ucapan dasarnya hari ini menolak keras cadangan AS untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Najib juga mengajak semua pimpinan parti dan ahli UMNO menzahirkan pendirian untuk menolak cadangan AS itu.

“Minggu ini kita dikejutkan dengan cadangan AS untuk mengiktiraf satu daripada tiga Tanah Suci umat Islam, yakni Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, saya yakin dan percaya, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.

“Saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, mengajak pimpinan parti, perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana saja anda berada untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita yang selantang-lantangnya agar dunia mendengar gema suara umat Islam Malaysia.

“Kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast