KUALA LUMPUR – Spekulasi siapa jurulatih Kedah bagi saingan Liga Super musim 2018 semakin terjawab apabila bekas pengendali musim 2015, Ramon Marcote tiba di Alor Setar, semalam.
Ketibaan Marcote turut dimaklumkan di laman Facebook rasminya. Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Marcote dilaporkan sedang memuktamadkan kontraknya dengan KFA ketika ini.
“Ramon Marcote tiba malam tadi (Rabu) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar melalui perjalanan jauh dari kampung beliau iaitu Cee dan mengharungi tempoh 29 jam dari A Coruna, Sepanyol.
“Ketibaan beliau adalah untuk perbincangan memuktamadkan kontrak dalam masa terdekat bersama Kedah FA sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super Kedah bagi musim 2018,” demikian menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan membuat pengumuman rasmi mengenai khabar gembira itu dalam masa terdekat setelah termeterainya kontrak antara Marcote dan persatuan tersebut.
Usaha membawa kembali Marcote ke Kedah merupakan hasil cetusan idea penaja pasukan Helang Merah, ECK Development Sdn. Bhd. yang akhirnya mendapat restu pengurusan tertinggi KFA.
Sebelum ini, Pengarah ECK Development Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew di halaman Facebook berkata, beliau memerlukan 25,000 tanda suka (like) untuk membawa masuk Marcote sebagai ketua jurulatih.
Usaha tersebut turut mendapat pujian dan sokongan penuh penyokong setia skuad Kedah.
Marcote pernah bertanggungjawab sebagai jurulatih kecergasan pada musim 2015 dan namanya tidak asing dalam kalangan penyokong bola sepak Kedah apabila berjaya mengemudi pasukan itu ke pentas akhir Piala Malaysia 2015.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu mempunyai pengalaman luas dalam sistem akademi bola sepak Atletico Madrid apabila dia menjadi jurulatih projek pembangunan kelab tersebut.
Sementara itu, skuad Helang Merah dilaporkan akan memulakan latihan pramusim pada Isnin depan. – MalaysiaGazette