Datuk Seri Liow Tiong Lai. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN), MCA yakin parti itu mampu untuk bangkit dan meraih sokongan kaum Cina pada PRU-14 kelak.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini mencerminkan parti utama BN itu mampu untuk memimpin komponen lain meraih kemenangan bergayai.

“Ucapan yang bersemangat mencerminkan seorang negarawan, saya lihat ucapan Presiden UMNO yang mementingkan negara untuk masa depan anak cucu kita.

“Saya rasa ini adalah ucapan yang cukup baik dan komprehensif memberikan semangat yang baru kepada semua ahli UMNO dan juga parti komponen BN untuk bangkit dan bersiap sedia untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya selepas mendengar ucapan Dasar Presiden UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra sebentar tadi.

Jelas Menteri Pengangkutan itu, MCA selaku parti kaum Cina telah bekerjasama dengan UMNO sejak merdeka dan memberi kepercayaan penuh kepada UMNO untuk terus memimpin BN.

Malah katanya, MCA telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 dengan segala persiapan telah direncanakan sebagaimana yang diimpikan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Kami (MCA) tengah bersiap untuk berperang dalam PRU14 nanti, kami sentiasa turun padang, dan pastikan calon yang kita kemukakan adalah calon yang disukai rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast