Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Jika Robert Mugabe yang sudah berkuasa lama di Zimbabwe pun boleh ditolak oleh rakyatnya tidak mustahil jika Tun M juga akan menerima nasib yang sama, kata Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu membuat perbandingan itu bagi  mengingatkan rakyat supaya tidak menyokong seseorang pemimpin atas rasa marah dan dendam kerana ia akan menyebabkan ‘kerosakan’ kepada negara.

“Rakyat harus berfikir secara matang, tak boleh sewenang-wenangnya letak pemimpin yang hanya mahu menjadi pemimpin atas rasa marah dendam peribadi kerana ini soal masa depan negara,” kata beliau semasa ditemui wartawan selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC hari ini.

Shamsul Nasarah memberikan contoh mengenai Mugabe yang sezaman dengan Mahathir walaupun memegang lama tampuk pemerintahan tetapi akhirnya dijatuhkan oleh rakyat sendiri yang menolaknya.

“Sebab itu kalau kita boleh bandingkan pemimpin sezaman Tun Mahathir pun tidak lagi memimpin negara, takkan lah rakyat Malaysia nak pilih lagi dia sedangkan kita ada pimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang berwibawa dan berkemampuan,” katanya.

Mugabe akhirnya meletakkan jawatan sebagai Presiden Zimbabwe kelmarin selepas pemerintahan kuku besinya selama 37 tahun tumbang beberapa hari selepas rampasan kuasa oleh tentera.

Langkah itu menamatkan krisis politik terburuk di Zimbabwe sejak negara itu memperoleh kemerdekaan dari Britain dalam tahun 1980.

Pengumuman ditunggu-tunggu itu dibuat semasa sesi khas Parlimen yang bersidang untuk memecat Mugabe. Pemimpin berusia 93 tahun itu menguasai setiap aspek kehidupan rakyat Zimbabwe selama hampir empat dekad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast