sindiket antarabangsa seludup manusia tumpas
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan susulan sejurus selepas pihak berkuasa Hong Kong selesai menjalanklan siasatan ke atas enam warga Malaysia yang ditahan atas kesalahan penyeludupan dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut berkenaan tangkapan dan siasatan ke atas enam warga Malaysia oleh kerajaan Hong Kong sebelum memikirka mengenai permohonan ekstradisi.

“Kita sudah meminta rakan setugas kami di Hong Kong mengenai butiran lanjut tangkapan dan siasatan ke atas enam suspek itu.

“Namun setakat ini kami belum menerima sebarang maklumat balas daripada mereka, dan pada masa yang sama kami memilih untuk tidak mengganggu proses siasatan pihak berkuasa Hong Kong dalam kes ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Tabung Prihatin Pengaman bersempena Program Keibubapaan Cemerlang bersama Pengerusi Yayasan Pengaman, Tan Sri Norian Mai di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Tabung itu menggalakkan orang ramai menyumbang mengikut kemampuan mereka untuk membantu anggota polis dalam perkhidmatan dan yang sudah bersara.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu permohonan ekstradisi bagi membawa balik enam warga negara Malaysia yang ditahan di Hong Kong kerana disyaki menyeludup dadah pada 29 November lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan Malaysia akan memohon ekstradisi untuk membawa balik dan menyiasat enam suspek itu.

Sementara itu, Mohamad Fuzi memberitahu polis telah menjalin kerjasama dengan Konsulat Malaysia di Hong Kong untuk memudahkan polis menyiasat kes tersebut.

“Kita tidak diberikan jangka masa oleh pihak berkuasa Hong Kong bila siasatan itu akan diselesaikan, biar mereka selesaikannya, polis kita akan meneruskan tindakan ke atas mereka (proses ekstradisi) selain siasat dan bertindak di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah Pencegahan Khas Akta Dadah 1985,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast