KUALA LUPUR – Sepang International Circuit (SIC) memenangi Anugerah Grand Prix Terbaik kerana kecemerlangannnya sebagai hos Grand Prix Motosikal Shell Malaysia 2017 (MotoGP 2017) pada 27 hingga 29 Oktober tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali dalam satu kenyataan berkata, SIC dipilih memenangi anugerah itu daripada 18 litar dan promoter yang terlibat pada musim ini.
“Ini suatu berita yang amat menggembirakan, terutama bagi para peminat dan sudah tentu ia juga menaikkan semangat semua staf SIC. Ini juga menjadi bukti tentang dedikasi pasukan kami, kecekapan kami dan kemampuan kami dalam menganjurkan acara antarabansga yang diiktiraf badan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.
Beliau berkata kemenangan itu membuktikan sekali lagi hakikat bahawa MotoGP merupakan acara antarabangsa terbesar bagi SIC dan negara ini.
Malaysia MotoGP 2017 menetapkan tanda aras baharu bagi populartinya yang semakin meningkat sebagai antara acara paling meriah berdasarkan jumlah penonton yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan.
Dalam sejarah selama tiga dekad, sebanyak 166,486 peminat membanjiri litar berkenaan dan jumlah itu mengatasi 161,533 peminat tahun lepas.
Memandangkan hak untuk menganjurkan perlumbaan itu dipegang hingga 2021, acara tersebut pasti menjadi tonggak dalam aktiviti sukan bermotor di rantau ini. – MalaysiaGazette