Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir pada Perasmian Perhimpunan UMNO ke 71 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Ketika UMNO diserang pelbagai pihak jumlah keahlian parti masih tetap meningkat dan dibuktikan dengan pertambahan jumlah cawangan dan ahli baharu yang didaftarkan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha Agung UMNO itu mengumumkan jumlah ahli UMNO telah meningkat kepada 3,644,295 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,851 semasa membaca laporan parti sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017).

“Walaupun UMNO telah diasak dengan pelbagai tohmahan serta berdepan dengan pelbagai cabaran, namun syukur alhamdulillah kerana parti ini terus menerajui kecemerlangan, bukan sahaja dalam pembangunan dan kemajuan negara tetapi juga mempunyai jalinan hubungan dua hala yang amat baik dengan parti-parti politik serantau dan di peringkat antarabangsa,” kata beliau semasa pembukaan PAU2017 hari ini di PWTC.

Tengku Adnan menyifatkan peningkatan jumlah keahlian tersebut membuktikan UMNO sentiasa mendapat sokongan rakyat.

Jelasnya, negeri Sabah mencatat jumlah ahli tertinggi dengan Bahagian Silam mewakili ahli teramai sementara Kampung Batu Putih Darat, Libaran adalah cawangan yang mencatat jumlah ahli tertinggi.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga memuji perwakilan dan penyokong yang hadir semasa PAU2017 kali ini kerana masih mempercayai kepimpinan parti serta berdiri teguh dibelakang Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

“Perjuangan UMNO terus dihayati dan bersemarak lantaran kekuatan sokongan dari ahli-ahli parti yang tidak pernah putus terhadap kepimpinan semua peringkat.

“Biar pun ada pihak luar yang melemparkan tohmahan, membuat tuduhan, menabur fitnah dan cuba memecahkan perpaduan parti namun, syukur Alhamdulillah, kesatuan setiap anggota UMNO telah mendukung kebersamaan dalam meneruskan perjuangan, bukan sekadar memastikan kesinambungan UMNO terus teguh, tetapi apa yang lebih penting adalah meneruskan penghayatan terhadap asas dan tujuan parti ini ditubuhkan. Dalam apa juga keadaan, perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, perhimpunan agung yang diadakan setiap tahun adalah lambang kebersamaan setiap ahli UMNO tidak kira apa peringkat sekali pun.

“Perhimpunan Agung UMNO 2017 ini bukan sahaja platform kepada anggota parti di akar umbi untuk mendengar amanat dan amanah daripada para pemimpin tetapi, persidangan ini juga adalah lambang kebersamaan dalam UMNO yang meliputi semua peringkat, dari cawangan, bahagian, negeri hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast