Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – UMNO berikrar akan menguasai media baharu sebagai langkah menangkis perang persepsi dalam masyarakat.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar yang memberitahu penggunaan media baharu itu penting untuk mengembalikan keyakinan, penyatuan ummah Melayu tanpa meminggirkan sesiapa.

Katanya, ia perlu dilaksanakan selepas bedah siasat (post mortem) mendapati tiga faktor menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlepas kerusi kubu kuat mereka pada Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) lalu.

“Tiga faktor kita kalah di beberapa kawasan pada pilihan raya lalu pertama adalah perang persepsi di media sosial dan kedua, perebutan calon dipilih pucuk pimpinan tidak diberi sokongan.

“Ketiga, orang Cina bersatu tanpa mengira parti menyokong pembangkang dan orang Melayu pilih untuk berpecah belah. Perkara ini membuatkan Bumiputera rugi kerana kekuatan politik terbahagi.

“Untuk hadapi pilihan raya akan datang, kita kena kuasai media baharu tangani persepsi, langkah penyatuan ummah dari sudut politik tanpa meminggirkan sesiapa dan pastikan kesilapan lalu tidak berulang. Kalau itu dapat dilakukan, Insya Allah, kita akan muncul lebih kuat,” katanya.

Annuar berkata demikian menerusi Program Bual Bicara Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) bertajuk: ” PRU14: Betulkah UMNO di persimpangan?” yang dihos moderator, Kadir Dikoh.

Katanya, semua masalah dan sabotaj dalam parti walau sekecil mana pun perlu dikesan dan diselesaikan dengan mengutamakan kemuafakatan dan keutamaan parti.

Tambahnya, beliau yakin semua pemimpin akar umbi, pemimpin bahagian dan pemimpin parti sudah mendapat ingatan dan mesej yang jelas daripada amanat Presiden, Datuk Seri Najib Razak, pagi tadi.

“Kesedaran yang cuba dibangkitkan Presiden menjurus kepada resolusi sebagai satu peringatan yang wajib dipatuhi semua ahli parti supaya apabila kita keluar PAU ini dengan semangat baru, lebih berdisiplin dan kekuatan kepada parti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast