Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Konsep wala’ atau kesetiaan kepada pemimpin dan parti masih menjadi ramuan untuk memastikan kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 menjadi medan penting untuk menyerap semangat itu ke dalam setiap pemimpin dan ahli parti itu.

“Sebahagian masalah yang dihadapi oleh UMNO pada PRU-13 lalu ialah wujud sabotaj undi dalam kalangan sesetengah pemimpin dan ahli UMNO itu sendiri.

“Perkara ini berlaku disebabkan kemungkinan mereka tidak dicalonkan pada pilihan raya sehingga menyebabkan penyokong mereka dalam kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri telah mengundi pihak lawan.

“Sekiranya konsep wala’ itu dihayati dengan mengutamakan prinsip perjuangan untuk survival agama, bangsa dan negara, sudah tentu siapa sahaja calon diputuskan pucuk pimpinan akan mendapat sokongan padu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zulkarnain mengingatkan semua pemimpin UMNO di semua peringkat agar sentiasa berwaspada mengenai ancaman parti itu akan kehilangan kuasa pada PRU-14 nanti.

“Harus diingat benteng terakhir bagi masyarakat Melayu Islam dan Bumiputera terletak pada UMNO yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak ketika ini.

“Situasi berada dalam zon selesa harus dikikis oleh setiap kepimpinan dan ahli parti bagi memastikan UMNO akan terus dapat mengekalkan kemenangan pada PRU ke-14 kelak,” katanya.

Katanya lagi, keseluruhan pimpinan UMNO harus mengutamakan kemenangan parti walaupun ada di antara mereka yang tidak terpilih menjadi calon.

“Mereka perlu berlapang dada demi masa depan Melayu keseluruhannya, Islam dan survival bumiputera di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast