KUALA LUMPUR – Kebakaran hutan di selatan California di Amerika Syarikat dilaporkan sejak malam 4 Disember 2017 telah merebak ke kawasan seluas 65,000 ekar tanah.
Bagaimanapun, tiada warga Malaysia dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, setakat ini, kebakaran telah memusnahkan sekurang-kurang 150 buah bangunan dan seramai 46,000 penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat.
Menurut kenyataan itu lagi, pada 5 Disember 2017, Datuk Bandar Los Angeles, Eric Gracetti telah mengumumkan status darurat bagi mengagihkan bantuan kecemasan kepada semua kawasan yang terjejas.
Kementerian Luar juga melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden yang sama.
Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles sedang memantau keadaan semasa dan akan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
Warganegara Malaysia yang berada di sekitar kawasan kejadian dan memerlukan bantuan disarankan supaya menghubungi Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles di alamat Konsulat Jeneral Malaysia, Los Angeles Alamat : 777 South Figueroa St. Suite 600, Los Angeles, CA 90071.
Selain itu warga Malaysia turut dinasihati supaya menghubungi Konsulat menerusi talian +1-213- 447-9404 atau +1-626- 277-1473 ataupun emel [email protected]. – MalaysiaGazette