KUALA LUMPUR – AirAsia Berhad melantik pelakon popular, Neelofa Mohd Noor sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.
Pelantikan itu diluluskan sebulat suara oleh ahli lembaga pengarah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, dengan pelantikan itu, Neelofa bakal memberi tambahan yang hebat kepada lembaga pengarah syarikat penerbangan itu.
“Beliau berpengalaman sebagai usahawan dan pencipta jenama, bakal menjadi penambah nilai melalui pandangan baru untuk perniagaan kami.
“Neelofa sangat pintar, muda dan bebas – yang kita perlu untuk membantu syarikat terus maju dan menjadi salah satu syarikat terbaik, paling dipercayai dan dihormati di dunia,” kata pengasass bersama AirAsia.
Fernandes berkata, reputasi Neelofa sebagai ahli perniagaan wanita terkemuka di Malaysia, salah seorang daripada beberapa rakyat Malaysia yang dinamakan oleh Forbes Asia dalam di bawah 30 dan rekodnya memperjuangkan wanita dalam perniagaan adalah inspirasi kepada AirAsia.
“Saya tidak sabar untuk bekerja dengan Neelofa,” tambah Fernandes lagi.
AirAsia menyifatkan Neelofa adalah jenama isi rumah di Malaysia. Seorang selebriti dan usahawan yang berjaya membina nama di bawah perniagaan tudung dengan jenama Naelofar Hijab.
Tudung keluarannya dilaporkan mencecah jualan sebanyak RM200 juta pada tahun ini dengan jualan di 37 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Brunei.
Sementara itu, Neelofa dalam kenyataan tersebut turut menyatakan rasa gembira untuk mengambil cabaran menyertai keluarga AirAsia.
“Terima kasih kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan AirAsia kerana menjemput saya ke menjadi sebahagian daripada syarikat penerbangan murah terbaik di dunia.
“Ini bukan hanya pencapaian saya, tetapi untuk semua wanita di luar sana. Selama 7 tahun yang lalu, saya meneroka kedua-dua industri hiburan dan perniagaan yang telah membawakan saya begitu banyak peluang untuk berkembang dan berubah.
“Saya teruja untuk mengambil peranan baru ini dan mencabar diri saya untuk pergi lebih jauh,” katanya. – MalaysiaGazette