Jenazah Muhammad Hanif Ismail dan kembarnya Nur Ain Hanifah, lapan tahun serta kakak mereka Nur Ain Hafizah, 22, dikebumikan pada pukul 12 tengah hari, selepas disolatkan di Masjid Bukit Kuin.
KUANTAN – Tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, di sini hari ini.

Jenazah Muhammad Hanif Ismail dan kembarnya Nur Ain Hanifah, lapan tahun serta kakak mereka Nur Ain Hafizah, 22, dikebumikan pada pukul 12 tengah hari, selepas disolatkan di Masjid Bukit Kuin.

Ibu saudara mangsa, Ramelah Yaakob, 54, yang datang dari Dungun, Terengganu berkata jenazah tiga beradik itu dikebumikan di sini kerana ibu mereka berasal dari Kuantan.

“Saya agak terkilan kerana tidak sempat tengok mereka, terutamanya pasangan kembar itu kerana mereka rapat dengan saya. Seakan tidak percaya mereka sudah tiada,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di sini.

Ramelah berkata beliau juga tidak mengetahui keluarga adiknya itu, Ismail, 53, bertolak ke Sungai Petani, Kedah untuk mengambil Nur Ain Hafizah yang bercuti sebelum pulang ke Dungun.

Tiga beradik itu maut manakala ibu bapa mereka Ismail dan Zarina Yong, 44, parah manakala seorang lagi anak Nur Ain Harizah, 13, cedera ringan dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan pada pukul 11 pagi, semalam.

Kemalangan yang berlaku berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong itu dikatakan berlaku selepas sebuah treler dipercayai mempunyai masalah brek, melanggar empat kenderaan yang berhenti di lampu isyarat simpang empat di situ.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast