KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap Perdana Menteri dapat mempengaruhi Donald Trump dalam isu Baitulmaqdis.
Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menggunakan kelebihan kerana didakwa ‘rapat’ dengan Presiden Amerika Syarikat.
“Saya berpendapat kerajaan Malaysia begitu juga dengan Najib begitu rapat dengan dengan Trump dan akan pergi ke Turki dalam soal Baitulmaqdis.
“Saya harap dia akan massuk dalam rombongan negara-negara islam berjumpa dengan Trump.
“Trump sahabatnya dan saya yakin dia dapat mempengaruhi Trump,” ujarnya sinis dalam sidang media di Ibupejabat PKR hari ini.
Dalam sidang akhbar yang turut dihadiri pemimpin utama parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu mereka mengumumkan akan mengadakan demonstarsi bantahan di hadapan Kedutaan AS pada 15 Disember ini.
Terdahulu, Mahathir mengimbas semula cadangan itu sebenarnya bukan perkara baru kerana presiden AS terdahulu pernah menyuarakan perkara yang sama namun mendapat tidak menjadi realiti selepas tentangan hebat daripada masyarakat dunia.
Mahathir juga meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap Kedutaan AS di negara ini sebagai tanda bantahan kepada Trump.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Nasional, Mohamad Sabu berkata, demonstrasi aman anjuran PH itu bukan sahaja melibatkan parti politik tetapi juga NGO dan persatuan agama.
Sambil tidak menyatakan betapa ramai yang hadir, beliau berharap ia turut disertai rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam kerana ia melibatkan soal kedaulatan.
Trump sebelum itu mengeluarkan kenyataan menyokong cadangan Israel yang mahu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara selepas Tel Aviv.
UMNO dan Pas awal-awal lagi sudah mengadakan demonstrasi dalam isu yang sama dihadapan Kedutaan AS pada Jumaat lalu.- MalaysiaGazette