Gavin Green

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada pemain golf negara, Gavin Green yang memenangi Order of Merit Jelajah Asia.

Datuk Seri Najib Razak berkata demikian dalam status Twitternya hari ini kerana kejayaan Gavin mengharumkan nama negara.

Gavin menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia.

Juara Taiwan Masters itu yang akan berusia 24 tahun pada 28 Disember ini, memastikan kemenangan miliknya apabila menamatkan saingan terikat di tangga ke-18 pada Terbuka Joburg dekat Afrika Selatan.

Dia melakukan 70-67-70-70 pukulan, dengan jumlah keseluruhan empat hari, 10 bawah par 277.

Gavin yang juga pemenang tiga kali Jelajah Pembangunan Asia (ADT) itu meraih gelaran itu dengan pungutan hadiah kemenangan AS$585,813 (RM2.39 juta) selepas bermain dalam 17 kejohanan sepanjang musim.

Pemain Amerika Syarikat, David Lipsky kedua dengan jurang AS$124,634 (RM507,666).- MalaysiaGazette