PETALING JAYA – Penjualan makanan segera McDonald’s di Malaysia tidak terjejas dengan seruan boikot susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengangkat Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Pengarah Urusan Gerbang Alaf Sdn. Bhd. dan Pemilik Saham Tempatan McDonald’s, Azmir Jaafar berkata, setiap bulan kira-kira 13 juta rakyat Malaysia mengunjungi dan menikmati hidangan makanan segera itu.
Bagaimanapun, syarikat tersebut tetap membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap kumpulan dan individu yang membuat fitnah terhadap mereka.
Ini bagi melindungi keselamatan para pekerja dan keluarga mereka serta aset-aset syarikat.
Jelasnya, terdapat beberapa ancaman yang telah diterima oleh pekerja namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut kerana ia masih dalam siasatan polis.
“Kami risau keadaan menjadi lebih teruk dan agresif disebabkan fitnah-fitnah tersebut sedangkan McDonald’s Malaysia tidak terlibat dengan sebarang kaitan dengan Yahudi atau Israel terutama dalam polisi pemberian sumbangan (matching gift) kerana ia merupakan kebiasaan di Amerika Syarikat.
“Kami juga tidak mahu pekerja-pekerja kami dihina dengan mengatakan kerja di McDonald’s adalah tidak baik sedangkan syarikat ini menggaji 12,000 pekerja secara langsung dan kira-kira 4,000 pekerja dari pembekal yang mana 80 peratus daripada mereka adalah orang Islam.
“Kami membayar zakat, kami juga membayar cukai pendapatan kepada kerajaan mengikut berapa hasil tahunan yang diperolehi. Kami juga memberi sumbangan kepada masyarakat melalui pelbagai program kebajikan.
“Sama seperti restoran francais yang lain, kami hanya membayar royalti kepada francaisor iaitu McDonald’s Corporation. Kami tidak memberi sebarang sumbangan keuntungan kepada mereka,” tegasnya semasa sidang media khas di Ibu Pejabat McDonald’s Malaysia di sini hari ini.
Menurut Azmir, tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya syarikat tersebut mengalami impak yang lebih teruk termasuk kehilangan mata pencarian kepada pekerja-pekerja mereka.
Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia juga telah mendapatkan pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menyatakan seruan wajib boikot hanya sah jika ianya diperintah oleh pemerintah negara namun dalam hal ini tiada pemimpin mahupun pihak berkuasa yang melarang rakyat daripada mengunjungi restoran tersebut.
Pejabat mufti juga berpendapat pihak McDonald’s Malaysia berhak untuk menuntut ganti rugi daripada pihak yang telah memboikot sesuai dengan kerugian dari segi kewangan syarikat dan kehilangan pekerjaan yang dialami daripada tindakan tersebut.
“Boikot tanpa fakta yag sah boleh dianggap sebagai fitnah oleh itu tuduhan ke atas McDonald’s adalah dianggap fitnah.
“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan supaya pihak individu atau badan bukan kerajaan yang memboikot atau membuat tuduhan palsu ke atas McDonald’s Malaysia supaya mengeluarkan kenyataan awam atau terbuka itu menarik balik kesemua tuduhan yang pernah dibuat ke atas McDonald’s Malaysia,” kata Azmir ketika membacakan kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat mufti.- MalaysiaGazette