KUALA LUMPUR – Maybank melancarkan pembayaran mudah alih tanpa tunai menggunakan kod QR dikenali Maybank QRPay, menjadikannya bank pertama yang memperkenalkan perkhidmatan seumpama itu di negara ini.
Maybank QRPay, membolehkan pelanggan untuk membayar produk dan perkhidmatan dengan segera hanya dengan mengimbas kod QR pada peranti mudah alih mereka.
Maybank berkata, Maybank QRPay bertujuan mempromosikan lebih banyak penggunaan transaksi tanpa tunai di negara ini kerana ia dapat dipasang dengan mudah atau digunakan oleh mana-mana individu atau perniagaan yang ingin mengguna pakai cara pembayaran tanpa tunai.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat berkata, perkhidmatan baru ini dijangka merevolusikan cara pembayaran dibuat antara pelanggan dan peniaga terutamanya untuk barangan yang bernilai kecil.
“Perkhidmatan baru kami ini membolehkan mana-mana peniaga untuk menerima transaksi QRPay daripada pelanggan Maybank sama ada peniaga tersebut mempunyai akaun dengan Maybank atau tidak,” katanya.
Maybank menawarkan proses mudah dan sangat pantas untuk para peniaga mendaftar melalui platform mudah alih, yang mana mereka boleh menikmati penerimaan pembayaran daripada pelanggan yang akan berurusniaga menerusi aplikasi Maybank2u.
Pada fasa perintis ini, kesemua 33 gerai makanan di Laman Menara Maybank menggunakan pilihan Maybank QRPay untuk pelanggan.
Perkhidmatan tersebut akan dilancarkan kepada orang ramai pada Januari 2018.
Lim berkata, Maybank yakin bahawa perkhidmatan QRPay berpotensi untuk melengkapkan kad debit atau kad kredit sebagai alternatif kos efektif berbanding tunai disebabkan oleh kos infrastruktur yang lebih rendah dan peningkatan penggunaan telefon mudah alih di Malaysia.
Mana-mana peniaga boleh memohon untuk menggunakan perkhidmatan ini dengan mendaftar untuk Maybank QRPay melalui Applikasi peniaga Maybank QRPay, yang mana mereka boleh menyatakan nombor akaun bank sendiri untuk bayaran yang hendak disalurkan.
Wang dikreditkan secara serta merta kepada akaun peniaga, menjadikan keseluruhan prosesnya mudah dan mesra peniaga.
Setelah didaftarkan, peniaga akan menikmati pelbagai faedah seperti kemudahan untuk melihat urusan juruwang dan kedai yang berbeza, menjalankan promosi sendiri dan mengemaskinikan profil perniagaan serta fleksibiliti memilih kod QR statik atau dinamik untuk transaksi mereka.
Mereka juga akan dapat melihat pergerakan urus niaga sehingga 90 hari, menerima pemberitahuan serta-merta untuk semua urus niaga, dan memantau urus niaga secara serta merta.
Pelanggan pula, perlu membuat pembayaran menerusi Aplikasi M2U yang baharu dengan memilih ciri kod QR di dalam Aplikasi dan kemudian mengimbas telefon bimbit pada kod QR peniaga untuk memulakan transaksi tersebut. QRPay akan membuat potongan terus dari akaun semasa atau simpanan mereka untuk di kredit ke dalam akaun peniaga dengan segera.
Maybank QRPay menawarkan pelanggan fleksibiliti untuk membuat pembayaran minimum sebanyak RM0.01 sehingga maksimum RM1,000 setiap hari. Mereka bolehmenetapkan had urus niaga harian pilihan berdasarkan cara perbelanjaan mereka dan mengikut tahap keselesaan yang diingini.
Bayaran lebih daripada RM250 memerlukan pelanggan menggunakan sama ada TouchID, FaceID, VoiceID atau kata laluan mereka untuk pengesahan.
“Apabila kami memperkenalkan kepada orang awam pada Januari 2018, Maybank menjangkakan pelanggan akan dapat menggunakan QRPay untuk membeli pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk segmen makanan dan minuman minuman seperti kafe, trak makanan, pusat penjaja/medan selera dan pasar malam serta industri lain seperti hiburan, kecantikan dan perniagaan dari rumah,” kata Lim. – MalaysiaGazette