TOKYO – Penahanan dua wartawan Reuters oleh kerajaan Myanmar kelmarin dibidas oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu tindakan yang tidak mencerminkan kebebasan media sebenar.
Menurut Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, kebebasan media di negara junta itu semakin berkurangan dan menggesa agensi antarabangsa untuk berpadu tenaga untuk membebaskan kedua-dua wartawan tersebut.
Katanya, penahanan itu bukan sahaja tidak adil, malah perlu dikecam dunia kerana kedua-dua wartawan itu hanya melakukan tugasan mereka untuk menceritakan derita sebenar yang sedang ditanggung oleh masyarakat Rohingnya kerana penindasan oleh kerajaan Myanmar.
“Penahan dua wartawan Reuters tempoh hari sudah jelas menunjukkan tiada lagi kebebasan di negara ini, malah kedua-kedua mereka telah ditahan kerana cubaan untuk melaporkan tragedi yang sedang menimpa masyarakat Rohingnya di sana.
“Kerajaan Myanmar cuba menutup segala keganasan yang sedang melanda minoriti Rohingnya dan apabila ada media yang cuba melaporkan kejadian sebenar kepada dunia luar, mereka di tangkap.
“Saya gesa semua badan antarabangsa untuk terlibat sama memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar agar kedua-dua wartawan ini dilepaskan” katanya kepada pemberita di Tokyo, Jepun hari ini.
Kelmarin, Myanmar mengesahkan pihaknya telah menahan dua wartawan yang berkhidmat dengan Reuters di negara tersebut.
“Memang benar mereka ditahan, tetapi bukan wartawan anda sahaja, kerana kami turut menahan seorang polis lelaki yang terbabit dengan kes berkenaan.
“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap wartawan dan polis terbabit,” kata jurucakap kerajaan, Zaw Htay.
Menurut kenyataan daripada Kementerian Penerangan Myanmar, kedua-dua wartawan, iaitu Wa Lone dan Kyaw Soe Oo ditahan kerana didakwa cuba mendapatkan beberapa maklumat secara haram sebelum dipercayai dikongsi kepada media berhubung hal ehwal negara itu.
Kedua-dua wartawan itu berdepan dengan penjara 14 tahun sekiranya sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Reuters Global, Abbe Serphos, berkata: “Kami sedang mencari maklumat selanjutnya mengenai penahanan itu dan keadaan kedua-dua mangsa terbabit”.
Wa Lone berkhidmat dengan Reuters sejak Jun 2016 pernah membuat liputan pelbagai isu membabitkan Rohingya, selain krisis membabitkan etnik minoriti itu di Rakhine.
Soe Oo pula bekerja dengan Reuters sejak September lalu. – MalaysiaGazette