KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini perlu bersedia dengan dengan Revolusi Industri 4.0 yang akan membawa negara menjayakan wawasan Transformasi Nasional 50 (TN50).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, dunia sekarang sudah berada di tahap revolusi industri yang keempat yang menyaksikan Internet of Things (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian.
Revolusi 4.0 ini berbeza dari revolusi industri pertama yang tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik, dan ketiga pada penggunaan teknologi maklumat (IT).
Menurutnya, industri ini hebat kerana ia menggantikan banyak kerja dalam revolusi pertama, kedua dan ketiga dengan proses automasi hasil bantuan perisian, selain dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian kerana semua urusan dijalankan secara digital.
Beliau berkata, PricewaterhouseCoopers’ dalam tinjauannya terhadap 20,000 syarikat di 29 negara menyatakan dengan Industri 4.0 ini, syarikat boleh meningkatkan pendapatannya sebanyak 4.3 peratus dan mengurangkan kos sebanyak 3.4 peratus setahun.
Salleh menambah, Industri 4.0 memberi banyak kesan kepada masyarakat.
“Dari segi media misalnya, Industri 4.0 akan membawa perubahan besar kepada media tradisional apabila manusia hanya menggunakan telefon pintar dan komputer untuk membaca berita, bukan lagi surat akhbar.
“Persaingan media bukan lagi sesama sendiri, tetapi terpaksa bersaing dengan media sosial yang lebih dapat menarik perhatian pembaca,” katanya menerusi blog beliau.
Dari segi pendidikan pula, Revolusi Industri 4.0 akan menyaksikan penggunaan komputer riba akan lebih menyeluruh di sekolah-sekolah.
Teknologi hologram, media sosial dan kecerdasan buatan juga akan menjadi aspek utama sebagai alat bantuan mengajar.
“Mungkin di masa hadapan, pelajar boleh belajar di rumah sahaja kerana kuliah disampaikan dalam bentuk video,” ujarnya. – MalaysiaGazette