KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei berjaya mara ke final untuk memburu gelaran kelima dalam saingan Siri Super Akhir.
Matlamatnya itu menjadi realiti apabila Chong Wei berjaya menewaskan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho dengan 21-17, 21-11 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di di Kompleks Sukan Hamdan Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Chong Wei akan membuat perhitungan dengan juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi final esok.
Axelsen mengesahkan tempat ke final selepas mengetepikan cabaran pemain China, Shi Yugi 21-12, 21-8 – kemenangan yang turut melunaskan dendamnya selepas tewas kepada pemain sama dalam aksi peringkat Kumpulan B.
Untuk rekod, Chong Wei sudah empat kali menjuarai Siri Super Akhir bermula pada 2008 di Kota Kinabalu, 2009 (Johor Bahru), 2010 (Taiwan) dan 2013 (Kuala Lumpur). – MalaysiaGazette