KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar mengambil tindakan undang-undang ke atas Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana memutar belit kenyataan Presiden Pas itu ketika diwawancara oleh akhbar Berita Harian dan New Straits Times.
Menurut Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Yusof yang telah membaca dan meneliti keseluruhan patah perkataan dalam kenyataan itu kedua-dua akhbar itu tetapi tidak menemui sebarang ayat yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Gelang Patah berkenaan.
Katanya, Kit Siang sengaja memutar belit kenyataan Abdul Hadi dengan mendakwa Ahli Parlimen Marang itu disebut sebagai berkata, “Jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia”.
“Bila diteliti, apa yang terkandung dalam kenyataan Abdul Hadi yang menyentuh mengenai perkara itu adalah, cita-cita pemimpin DAP untuk menjadi perdana menteri bercanggah dengan ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Abdul Hadi juga menyebut, Pas memberi keutamaan untuk mengekalkan kepemimpinan Islam dalam negara ini dan pemimpin DAP menjadi perdana menteri turut bercanggah dengan realiti di Malaysia yang mana konsep negara Islam mestilah Islam itu berkuasa.
“Yang pasti Pas menolak pemimpin bukan Islam sebagai perdana menteri kerana menjadi keutamaan Pas untuk menjadikan orang Islam pemimpin negara,” katanya menerusi status yang dipetik dalam facebook beliau hari ini.
Kit Siang dalam reaksinya berhubung wawancara Abdul Hadi di dua akhbar itu mengulas, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang telah menyertai Najib, menyebarkan pembohongan bahawa beliau mahu menjadi perdana menteri dan bahawa jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia.
Menurut Kamarul, Kit Siang adalah seorang pemutar belit yang layak disaman di mahkamah.
Katanya, beliau hairan bagaimana Penasihat DAP itu boleh menghubungkan Abdul Hadi dengan kenyataan bahawa “jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia”, sedangkan Ahli Parlimen Marang itu tidak menyebut walau sekali pun istilah “UMNO” dalam kenyataan itu.
“Menyebut, Pas memberi keutamaan untuk mengekalkan kepimpinan Islam dalam negara ini dan menjadi keutamaan Pas untuk menjadikan orang Islam pemimpin negara, tidak boleh difahami sebagai menyokong pengekalan UMNO.
“Ini kerana kepimpinan Islam dan orang Islam itu tidak semestinya merujuk kepada kepimpinan UMNO dan orang UMNO, kerana ia boleh sahaja merujuk kepada kepimpinan Pas dan orang Pas.
“Jika saya adalah Presiden Pas, sudah tentu saya akan menyaman Kit Siang di mahkamah kerana membuat fitnah tidak berasas terhadap saya untuk memburukkan imej saya dan imej parti saya di mata rakyat Malaysia dan saman ini juga akan saya lakukan serta-merta,” katanya. – MalaysiaGazette