Pemilik sebuah syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi pertuduhan menipu seorang bakal pengantin.

JOHOR BAHRU – Pemilik syarikat perancang perkahwinan “Zurin Jundi” sekali lagi didakwa atas tuduhan menipu seorang pelanggannya membabitkan kerugian berjumlah RM5,000 pada Mac lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Zurina Ahmad Zundi, 34,
didakwa memperdayakan Erhana Nur Asyariqah Saidon, 25, dengan menawarkan pakej perkahwinan murah yang kemudian dengan curangnya mendorong mangsa memasukkan wang pendahuluan berjumlah RM5,000 ke dalam akaun CIMB milik tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Jasa 7, Taman Mutiara Rini, Skudai, di sini pada Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu penjara tidak lebih daripada 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Zurina bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan ‪10 Januari‬ depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd. Nasir menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh, namun Zurina yang tidak diwakili peguam merayu jumlah dikurangkan kerana dia baru membayar wang jaminan bagi kes lain.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah dia sedang berusaha untuk menjual barangan perniagaan bagi melangsaikan hutang pelanggannya.

Zurina dituduh buat kali ketiga hari ini dimana dia pernah didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada 19 Oktober lalu dan di Mahkamah Majistret di sini pada 20 November lalu atas pertuduhan memperdaya pelanggan membabitkan kerugian RM7,000 dan RM8,500. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast