Home Utama Bengkel kereta di KL hanya di kawasan perindustrian

Bengkel kereta di KL hanya di kawasan perindustrian

KUALA LUMPUR – Permohonan lesen baru untuk membuka bengkel kereta yang dibenarkan hanya di kawasan perindustrian sahaja, denikian kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Moham.

Menurut beliau, permohonan akan diteliti oleh Jawatankuasa Perlesenan Premis untuk memastikan kesesuaian lokasi sebelum kelulusan diberikan.

Jawatankuasa tersebut tambahnya dianggotai oleh pegawai daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Bomba yang berperanan untuk memantau risiko berlakunya gangguan, ancaman keselamatan dan pencemaran.

“DBKL sentiasa memantau dan mengambil tindakan ke atas bengkel kenderaan yang didirikan secara haram, menimbulkan gangguan kepada masyarakat dan pencemaran,” katanya pada persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani @ Abbas yang ingin tahu tindakan DBKL bagi mengatasi masalah bengkel kereta yang berselerak dan didirikan secara haram di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur.

Kata Loga lagi, setakat ini tiada aduan bengkel kereta berselerak sekalipun yang beroperasi secara haram di dalam ibu kota.

Sebaliknya jelas beliau, hanya 830 premis bengkel kereta berlesen di Kuala Lumpur dan jumlah tersebut masih rendah. -MalaysiaGazette