ENGLAND – Manchester City dilaporkan akan menawarkan Pep Guardiola kontrak baharu di akhir musim ini.
Pemilik skuad the Noisy Neighbours itu yakin pengurus kelahiran Sepanyol itu membina dinasti bola sepak yang boleh membawa kegemilangan untuk sedekad di Stadium Etihad.
Man City memanjangkan rekod kemenangan kepda 16 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeria dengan membelasah Tottenham Hotspurs 4-1 pada Sabtu lalu.
Pemilik City dari Abu Dhabi menawarkan Guardiola tawaran terbaik pada penghujung musim ini sedangkan Guardiola masih mempunyai kontrak berbaki 12 bulan lagi.
Guardiola diikat Manchester City dengan nilai £12 juta selama tiga tahun.
City percaya mereka sudah menemui pengurus yang unik seperti yang dilakukan Manchester United menerusi Sir Alex Ferguson dan mahu mengekalkan jurulatih warga Sepanyol itu untuk tempoh yang panjang.
Guardiola hanya meluangkan masa kejurulatihan selama empat tahun bersama Barcelona dan tiga tahun bersama Bayern Munich, tetapi City yakin Guardiola mempunyai persekitaran terbaik dan boleh dipujuk untuk kekal lama di Etihad.
Guardiola, 46, mengakui dia memandang remeh cabaran dalam EPL musim lalu yang mana gagal membawa sebarang gelaran untuk kelab itu.
Namun dia menjelaskan hirarki kelab itu banyak membantunya dan kini segalanya dibalas dengan habuan dan kemenangan yang memberangsangkan dalam setiap perlawanan.- MalaysiaGazette