KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju hartanah digesa membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung tindakan beberapa kumpulan didakwa membuat bantahan pembangunan semata-mata untuk mendapatkan imbuhan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan berkenaan yang jelas melanggari undang-undang.
“Saya telah memohon pihak pemaju melaporkan kepada pihak polis dan pihak SPRM berhubung dengan tindakan pihak-pihak tertentu tersebut.
“Saya tidak akan berkompromi dengan tindakan pihak-pihak tertentu tersebut yang bertentangan undang-undang dan untuk kepentingan peribadi.
“Perkara sebegini tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan pertadbiran Barisan Nasional (BN) yang telus dan mementingkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Adnan mengulas hasrat Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai untuk membuat laporan kepada SPRM terhadap beliau berhubung penjualan 45 bahagian tanah kerajaan di Kuala Lumpur.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kok Wai kerana membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Kok Wai mendakwa, bahagian tanah kerajaan itu telah dijual tanpa tender terbuka sejak Ahli Parlimen Putrajaya itu memegang jawatan menteri itu.
Tengku Adnan bagaimanapun berkata, laporan yang bakal dibuat oleh Kok Wai itu bakal menentukan siapa yang betul atau salah termasuk dakwaan palsu yang dilemparkan pembangkang terhadap beliau dan kerajaan BN.
“Saya yakin dengan laporan yang bakal dibuat oleh Tan Kok Wai tentunya akan menyerlahkan antara mana yang benar atau tidak termasuklah fitnah serta tohmahan yang dilakukan terhadap saya dan kerajaan,” tegasnya.
Beliau berkata lagi, pembangunan di negeri ditadbir Pakatan Harapan tidak pula mendapat bantahan meskipun tidak mematuhi syarat pembangunan.
“Saya tidak pasti bagaimanakan di negeri-negeri lain yang tidak ditadbir oleh BN yang gagal memenuhi syarat-syarat pembangunan dapat meneruskan pembangunan tersebut tanpa sebarang bantahan daripada mana-mana pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.