Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus

KUALA LUMPUR –  Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus hari ini gagal mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi menolak permohonan kebenaran yang difailkan Abang Ahmad Kerdee dengan alasan isu itu tidak boleh didebatkan kerana pelantikan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata hakim itu juga memutuskan bahawa permohonan tersebut tidak melepasi keperluan di bawah peruntukan undang-undang dan mahkamah memerintahkan Abang Ahmad Kerdee membayar kos RM5,000 kepada responden iaitu Md Raus.

Suzana yang bertindak bagi pihak Md Raus berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding yang turut dihadiri peguam Mohamed Hanipa Maidin, mewakili Abang Ahmad Kerdee.

Abang Ahmad Kerdee selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 Nov lepas bagi menuntut deklarasi bahawa pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos 2017 di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast