Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Harga tinggi dan kekurangan bekalan rumah mampu milik dalam pasaran antara faktor kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) gagal diselesaikan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, faktor itu juga turut ditambah dengan kompleksiti industri perumahan sehingga mewujudkan peluang kepada pihak tertentu untuk mengaut keuntungan atas angin melalui beban yang perlu ditanggung pembeli.

Beliau dengan yakin berkata, isu perumahan golongan B40 dan M40 boleh diselesaikan dengan syarat kerajaan mempunyai kemahuan politik yang bersungguh dan menggunakan kaedah Islam secara adil untuk semua.

Katanya, Pas komited mahu menyelesaikan isu pemilikan rumah bukan kerana memahami kediaman satu keperluan asasi manusian, bahkan menyedari status pemilikan rumah juga memberikan kesan ke atas pembentukan struktur sosial serta politik sesebuah masyarakat.

“Pas telah menterjemahkan komitmen ini dalam manifestonya untuk ditawarkan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, melalui manifesto itu setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun ke atas yang layak berhak mendapatkan satu lot tapak rumah kediaman atau satu unit rumah kediaman.

“Kerajaan” Pas katanya, akan memperuntukan kira-kira RM50 juta setahun untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat.

“Saya juga sebelum ini ada menyuarakan beberapa kaedah bagi menyelesaikan isu ini, antaranya melalui penggubalan akta tertentu bagi mengawal harga rumah, pelaksanaan pinjaman qard al-hassan dan pengenalan sukuk al-ijarah dalam proses pembiayaan perumahan serta pembukaan kampung-kampung baharu.

“Saya percaya, apabila Pas terus diberikan mandat dalam siri PRU akan datang, lebih banyak manfaat yang akan dinikmati oleh rakyat di negara ini dan isu pemilikan rumah ini akan dapat diselesaikan sebaiknya,” kata beliau.

Jelas beliau, harga purata rumah pada 2016 yang mencecah RM387,258 seunit dikategorikan sebagai ‘amat tidak mampu milik’ dan hanya layak untuk dimiliki oleh kumpulan isi rumah berpendapatan sekurang-kurangya RM10,757.

“Sedangkan, kumpulan B40 dan M40 hanya berpendapatan purata RM2,848 dan RM6,502 sebulan,” ujarnya.

Beliau berkata, secara unjurannya, bagi tempoh 2016 hingga 2020, negara ini memerlukan 653,000 unit rumah mampu milik atau 130,000 unit setahun bagi memenuhi permintaan.

Namun, kata Dr. Nohd Khairuddin, bekalan rumah mampu milik pada masa ini secara puratanya hanya 60,000 unit sahaja setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast