KUALA LUMPUR – Presiden Taekwondo Malaysia, Datuk Seri SA Vigneswaran merayu Kementerian Belia dan Sukan agar menyelesaikan isu kewujudan persatuan taekwando yang tidak berdaftar dan tidak diiktiraf .

Ujarnya, isu itu tercetus apabila ada pihak yang meluahkan kekesalan terhadap pengeluaran sijil tidak diiktiraf dan sesi pembelajaran yang dianjurkan secara bebas oleh pihak tertentu yang tida bertanggungjawab.

“Pada masa sekarang kita pun merayu kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya perkara sebegini tidak lanjut dan berterusan dan jikalau berterusan ini bermakna punca rintihan taekwando dalam negara kita bermasalah berpunca daripada kementerian sendirilah, bukannya dari persatuan.

“Sesiapa yang menjalankan aktiviti mengajar teakwando ini kena diiktiraf.

“Ini mengakibatkan kursus yang dijalankan di bawahnya tidak diiktiraf jadi kita berpendapat ini kena berhenti. Tidak boleh keluarkan sijil untuk sukan ini yang tidak diiktiraf,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, PersatuanĀ  Taekwando Malaysia akan menulis surat kepada Suruhanjaya Sukan termasuklah Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung anjuran pertandingan taekwando tanpa iktiraf diadakan.

“Kita akan menulis kepada Suruhanjaya Sukan dan RoS. Supaya mereka tidak membenarkan persatuan yang tidak ditubuhkan menjalankan pertandingan,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan usaha dari pelbagai aspek terus mengembalikan sukan taekwando sebagai salah satu sukan teras.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 12 Disember yang lalu mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan teras negara berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Jelasnya keputusan itu dibuat selepas KBS dan Majlis Sukan Negara membuat semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut sejak 2007.

Tambahnya, prestasi yang semakin merosot selain pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atlet sukan itu dalam ujian doping adalah punca utama angkat berat digugurkan, sementara sepak takraw dan taekwondo digugurkan kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast