Siti Nurhaliza Taruddin

KUALA LUMPUR – Belum pun melahirkan akan sulung, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikhabarkan akan menghadiahkan sebuah lagu buat anaknya.

Berbekalkan tiga buah melodi, ia akan digubah khas buat anak sulungnya yang akan dilahirkan Mac tahun hadapan.

Menurut Siti, beliau mendapat idea mencipta lagu tersebut sejak bulan lalu.

“Saya ada tiga melodi untuk dipilih dan dijadikan lagu untuk anak saya nanti. Insya-Allah ia akan dirakam dalam masa terdekat sebelum dia lahir.

“Idea datang ketika dalam bilik air dimana saya sering menyanyi-nyanyi dan terfikir apa salahnya buat lagu istimewa untuk bayi ini nanti. Dia boleh dengar bila dia besar,” kata wanita berusia 38 tahun ini, memetik laporan mStar Online.

Bagaimanapun, lirik dan judul lagu masih dalam perancangan.

Ditanya mengenai jantina anaknya, Siti masih belum boleh mendedahkannya kepada media sehingga mendapat lampu hijau daripada suaminya.

Siti mendirikan rumah tanggan dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 2006. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast