Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bersetuju menghantar Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk menyertai forum dan Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis, esok.

Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat memandangkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel bukan isu agama semata-mata bahkan ia berkait rapat keadilan sejagat.

“Memandangkan isu ini berkait hak asasi manusia serta kestabilan politik rantau Timur Tengah, maka Biro Politik KEADILAN bersetuju menghantar seorang wakil, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyertai satu forum khas tentang isu ini di Masjid Putra, Putrajaya, esok,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan jemputan ke himpunan bantahan terhadap tindakan terbaharu Isreal tidak ditujukan kepada parti politik.

Ahmad Zahid sebaliknya berkata, jemputan itu hanya dihantar kepada individu-individu tertentu yang mewakili setiap organisasi seperti parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk bukan Islam.

Fahmi juga berkata, pihaknya membantah keras tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berhasrat memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, sekaligus mengiktiraf bandar suci tersebut sebagai ibu negara Israel.

“Tindakan ini adalah keputusan sebelah pihak yang meranapkan proses perdamaian Israel-Palestin dan menghancur harapan pembentukan negara Palestin,” katanya.

Katanya lagi, PKR menggesa Kerajaan Malaysia agar terus meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Presiden Trump melalui saluran-saluran diplomatik dan ekonomi.

“Kerajaan perlu menyatakan komitmen Malaysia untuk tidak terjebak ke dalam sebarang konflik ketenteraan di Timur Tengah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast