KUALA LUMPUR – Walaupun belum ‘selesai’ urusan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetap mengadakan mesyuarat agung (AGM) parti itu pada 30 Disember ini.
Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan maklum balas RoS melalui surat bertarikh 19 Disember lalu dengan mengatakan parti itu perlu mengadakan AGM berdasarkan kaedah yang ditetapkan dalam perlembagaannya.
“Justeru dengan maklum balas ini, kami berpendapat ROS tiada halangan terhadap AGM BERSATU yang akan diadakan nanti, dan ia selaras dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan parti,” katanya semalam.
Menurut Mukhriz, AGM PPBM yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam nanti mencatatkan sejarah kerana menjadi AGM pertama bagi parti itu.
AGM itu akan dihadiri pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi serta 990 perwakilan daripada 137 bahagian.
Terdahulu, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim memberi amaran parti itu mungkin dilarang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika gagal menjalankan AGM parti.
PPBM dijangka membentangkan laporan tahunan dan perwakilan akan mendengar ucapan presiden serta ucapan dasar pengerusi.
Ucapan menyokong ucapan dasar pengerusi akan disampaikan ketua pemuda manakala ucapan menyokong cadangan itu akan disampaikan ketua srikandi.
Bagaimanapun dalam AGM yang sama tidak ada persidangan sayap pemuda dan srikandi.- MalaysiaGazette