KAMUNTING – Masjid Kampung Expo yang sepatutnya menjadi dimiliki oleh 12,000 orang penduduk kampung didakwa telah ‘ditakluki’ oleh penyokong-penyokong Pas.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu memberitahu, masjid tersebut seolah-olah menjadi markas Pas kerana semua aktiviti parti itu dianjurkan di masjid berkenaan.
Malah, masjid itu juga didakwa menjemput penceramah-penceramah dari parti itu dalam program-program yang dianjurkan.
Kuliah Subuh dan Maghrib juga kadang-kadang ‘terbabas’ isu politik.
Tidak cukup dengan itu, cat bumbung awning dan karpet masjid turut ditukar kepada warna hijau berbanding merah.
Biro Keselamatan, JKKK Kampung Expo, Tajudin Yusof berkata, situasi itu menimbulkan konflik sehingga menjejaskan silaturahim antara penduduk setempat.
Perkara itu jelas berlaku terutama apabila JKKK menganjurkan program memang sukar untuk melihat penyokong Pas hadir.
Penyokong Pas pula dakwanya kerap menganjurkan program sama yang dilakukan oleh JKKK dengan melibatkan penyokong-penyokong Pas luar dari Kampung Expo.
Perpustakaan desa yang disediakan di Kampung Expo turut tidak dimanfaatkan oleh anak-anak penyokong Pas kerana mereka mempunyai kemudahan sendiri.
“Saya faham kalau sentimen ini berlaku di Kelantan tetapi sekarang ia berlaku di Taiping. JKKK melihat ini satu perkembangan yang tidak sihat kerana memecah-belahkan penduduk setempat.
“JKKK semakin kurang senang apabila masjid itu digunakan sepenuhnya oleh penyokong-penyokong Pas untuk aktiviti anjuran mereka sahaja,” katannya kepada MalaysiaGazette.
Tajudin mengakui keadaan itu memang menyukarkan JKKK melaksanakan peranan dan tanggungjawab kepada masyarakat setempat terutama dalam menangani isu-isu sosial kampung.
“JKKK menganjurkan pelbagai aktiviti setempat, seperti gotong-royong, pameran, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya. Tetapi kalau penyertaannya seciput saja, apa gunanya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Comments are closed.