Home Nasional Dakwaan HTF teruk ada motif tertentu – KKM

Dakwaan HTF teruk ada motif tertentu – KKM

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Hosptal Tuanku Fauziah (HTP) di Perlis lebih teruk daripada hospital di sesetengah pekan adalah tidak tepat dan kemungkinan mempunyai motif tertentu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, HTF adalah sebuah hospital kerajaan yang telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1909 dan menawarkan perkhidmatan berpakar bagi lebih 260,000 orang rakyat Perlis dan Kedah, terutama bagi kawasan berdekatan misalnya Kubang Pasu, Kedah.

Saban tahun, perkhidmatan kesihatan dan perawatan pesakit di HTF telah berkembang dan meningkat dengan cemerlang.

HTF menawarkan perkhidmatan kesihatan sekunder dan juga tertiari yang terdiri daripada perkhidmatan pesakit luar, pesakit dalam dan rawatan sokongan menggunakan teknologi yang canggih dan terkini.

Sehingga kini, terdapat 63 pegawai pakar perubatan merangkumi 15 Jabatan dan 11 bidang subkepakaran.

Jumlah katil juga telah meningkat kepada 508 buah katil berbanding 408 sebelumnya, termasuk pembukaan Blok Wanita dan Kanak-kanak yang baru yang telah dirasmikan oleh Tuanku Raja Perlis pada 9 Mei lalu.

Setaraf dengan status hospital ini, HTF turut menawarkan perkhidmatan pengimejan Pengimejan Resonans Magnetik.

“Hasilnya, statistik menunjukkan keyakinan masyarakat setempat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan di hospital ini adalah tinggi termasuk rakyat Kedah yang turut menjadikan hospital ini sebagai pilihan untuk mendapatkan rawatan.

“Seperti juga bagi banyak bidang subkepakaran, KKM telah menyediakan perkhidmatan rawatan jantung mengikut zon untuk menampung keperluan pesakit di setiap zon di negara ini dan perkhidmatan ini tidak disediakan di semua hospital.

“Ini adalah supaya perkhidmatan jantung yang berkualiti tinggi dapat disediakan, pada kadar mampu milik bagi segenap lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Dr. Noor Hisham, pengwujudan perkhidmatan kepakaran jantung juga memerlukan pakar dan anggota sokongan yang berkemahiran tinggi.

Pada masa ini, terdapat tujuh buah pusat rawatan jantung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kardiologi, perkhidmatan pembedahan kardiotorasik, serta perkhidmatan anestesiologi kardiotorasik, iaitu:
• Hospital Pulau Pinang
• Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu (Johor)
• Hospital Umum Sarawak Kuching (Sarawak)
• Hospital Queen Elizabeth II Kota Kinabalu (Sabah)
• Hospital Serdang (Selangor)
• Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu (Kelantan)
• Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (Pahang)

Perkhidmatan kardiologi tanpa perkhidmatan pembedahan pula disediakan di tiga (3) buah hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (Kedah), Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (Terengganu) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (Perak).

Perkhidmatan kardiologi juga merangkumi prosedur angiogram dan angioplasty yang memerlukan pengendalian dan pengawasan oleh pakar kardiologi terlatih.

Kemudahan jaringan jalan raya dan pengangkutan yang baik di Perlis memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan jantung di Alor Setar dan Pulau Pinang.

Pesakit di HTF yang disyaki mengidap penyakit jantung akan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut manakala pesakit yang memerlukan pembedahan jantung akan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang.

Sehingga kini, sistem rujukan ini telah berjalan dengan lancar dan telah memanfaatkan begitu ramai pesakit di zon utara.

Tambahan pula, HTF tetap menyediakan perkhidmatan kepakaran sakit jantung melalui lawatan pakar jantung yang dilakukan secara berkala pada setiap bulan.

Mengikut statistik daripada Klinik Pakar Kardiologi HTF, kes rujukan pada tahun 2016 adalah sebanyak 471 kes dan meningkat kepada 556 kes pada tahun 2017.

Untuk meningkatkan lagi perkhidmatan rawatan jantung di zon utara, Kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi memperkembangkan perkhidmatan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk merangkumi pembedahan jantung pada tahun 2018.

Kenyatan itu dibuat KKM berikutan dakwaan individu, David Marshel yang bertajuk ‘Kasihan orang Perlis, hospital tak ada kemudahan’ yang disiarkan oleh portal berita pada 21 Disember lalu. – MalaysiaGazette