KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) meminta orang ramai terutama penggunanya tidak mempercayai satu mesej yang menjadi viral kononnya syarikat itu mengenakan caj RM3 bagi penghantaran bil melalui pos.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporatnya, Siti Zubaidah Zakaria berkata, tidak ada sebarang caj dikenakan jika pengguna hendak mendapatkan bil air melalui Pos Malaysia.
Katanya, Syabas memberi pilihan kepada penggunanya sama ada pembayaran air melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau ditukar kepada bil yang mana pelaksanaan bagi pertukaran itu berkuatkuasa 1 Januari 2018.
“Saya menerima maklum balas mengatakan ada satu mesej yang kini sedang viral di laman sosial. Mesej itu mendakwa kononnya Syabas akan mengenakan caj RM3 bagi bil melalui pos.
“Ini tidak benar dan Syabas tidak pernah mengenakan apa-apa caj. Kita harap pengguna Syabas tidak mempercayainya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.
Siti Zubaidah menyarankan pengguna berwaspada dengan mesej itu dan untuk maklumat lanjut mereka boleh melayari www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’ atau berhubung terus dengan Pusat Panggilan Syabas di talian bebas tol 15300.
Pengguna juga katanya, boleh mendaftar dan kemaskini maklumat mereka di https://update.airselangor.com untuk menerima e-bil bermula Januari 2018. – MalaysiaGazette