RAMALLAH – Palestin mengutuk keputusan Guatemala yang mahu memindahkan kedutaannya di Baitulmaqdis.
Langkah itu disifatkan sebagai tindakan yang memalukan, lapor agensi berita antarabangsa.
Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu jelas melanggar resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang mengecam tindakan provokatif Washington.
“Ini satu perbuatan yang memalukan dan menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan kehendak pemimpin-pemimpin gereja di Baitulmaqdis, serta melanggar resolusi UNGA yang mengecam tindakan provokatif Washington,” katanya seperti dilaporkan.
Sebelum ini, negara kecil Amerika Tengah itu mengumumkan keputusan memindahkan misi diplomatiknya di Israel ke Baitulmaqdis, sekaligus sebagai negara pertama mengikut jejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Palestin menganggap ia sebagai perbuatan permusuhan yang melampau hak-hak rakyat negara ini dan undang-undang antarabangsa yang tidak dapat dipisahkan.
“Palestin akan bertindak dengan rakan-rakan serantau serta antarabangsa untuk menentang keputusan menyalahi undang-undang itu,” kata kenyataan itu lagi.
Pada awal Disember lepas, Trump mengumumkan keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya di Tel Aviv ke wilayah berkenaan. – MalaysiaGazette