PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini menjelaskan tindakan mengapit tayar sebuah kereta peronda polis di sini adalah bagi memastikan tiada unsur pilih kasih dalam penguatkuasaannya.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PPj, Muhamad Irwan Adbullah berkata, tindakan mengapit tayar kereta itu merupakan prosedur tindakan penguatkuasaan PPj mengikut Seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan halangan lalu lintas.

“Pelaksanaan apitan ini adalah bagi mendidik dan mencegah orang ramai daripada terus melakukan kesalahan lalu lintas yang akan menyebabkan kepincangan kepada kesejahteraan bandar dan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Gambar sebuah kereta peronda polis yang diletakkan di bahu jalan berhampiran Menara Usahawan di sini tular di laman sosial sejak semalam.

Muhamad Irwan menjelaskan, semasa rondaan, pasukan penguatkuasa PPj mendapati kereta peronda polis di lokasi apitan dan dalam masa sama, mereka cuba menghubungi pemandu di sekitar lokasi namun gagal.

“Justeru itu, adalah menjadi prosedur untuk melaksanakan tindakan apitan ke atas semua kereta yang melakukan kesalahan termasuk kereta peronda polis,” katanya.

Muhamad Irwan berkata, penguatkuasaan zon apitan dan tundaan dilaksanakan sejak 1 April lepas.

Beliau berkata, PPj turut menyediakan Panduan Zon Apitan, Tunda dan Kawasan Letak Kereta Di Putrajaya yang boleh dimuat turun dari laman web rasmi www.ppj.gov.my. – Bernama

Comments are closed.