KUALA LUMPUR -Tiga perkhidmatan rel utama negara Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel hari ini menerima pengiktirafan memiliki kualiti kelas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman berkata, pengiktirafan daripada SIRIM QAS International menerusi sijil Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 menjadi kelebihan buat syarikat itu termasuk Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sebagai penyedia perkhidmatan berkelas dunia.

“Rapid Rail sentiasa meningkat dan memantapkan sistem pengurusan, tahap kemahiran dan kualiti dalam apa juga yang kami lakukan bagi memastikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

“Syarat untuk sijil baru ISO 9001:2015 adalah jauh lebih ketat, tetapi kami tetap gigih untuk mencapai piawaian yang diperlukan.

“Pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini amat bermakna kerana ia bukan saja badan akreditasi nasional yang diiktiraf Jabatan Standards Malaysia, tetapi juga oleh United Kingdom Accreditation Service (UKAS), iaitu badan akreditasi antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Prasarana.

Penganugerahan sijil itu diberikan dalam satu majlis di ibu pejabat Rapid Rail di Subang, hari ini dan turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Abdul Hadi Amran serta Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya, Ismail Abdullah; Pengurus Besar Kanan Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan SIRIM QAS International, Nor’afiza Saim.

Tambah Zohari, sijil itu pelengkap beberapa anugerah antarabangsa lain yang diterima sebelum ini, seperti Anugerah Berlian Antarabangsa bagi Kecemerlangan Kualiti oleh European Society for Quality Research (ESQR) yang diterima Prasarana pada 9 Disember lalu. -MalaysiaGazette