Mohd Hashim Abdullah.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan bahawa Parlimen akan dibubarkan pada 11 Januari depan sebagaimana yang tular baru-baru ini.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, tidak mungkin sesi Dewan Rakyat akan dibubarkan pada tarikh berkenaan dan tarikh pengundian pada 25 Mac depan kerana tempoh pembubaran itu melebihi tempoh 60 hari dari tarikh pengundian.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin menjelaskan bahawa mesej yang ditularkan di media sosial mengenai kononnya pembubaran Parlimen akan berlaku pada 11 Januari 2018, manakala penamaan calon pula pada 11 Februari dan Hari Pengundian ditetapkan pada 25 Mac 2018 adalah langsung tidak munasabah.

“Ini kerana tarikh pembubaran dan pengundian yang dinyatakan adalah melebihi tempoh 60 hari seperti mana yang dinyatakan di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular dalam aplikasi WhatsApp mendedahkan bahawa Parlimen akan dibubarkan pada 11 Januari depan manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian adalah pada 11 Februari dan 25 Mac 2018.

Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata, PRU14 hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar.

Justeru orang dinasihatkan agar tidak mempercayai tarikh-tarikh yang tular itu kerana hak untuk membubarkan Parlimen adalah di bawah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mohamad IV atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.