Jamie Redknapp dan Louise. Foto Liverpool Echo.

LONDON – Bekas bintang bola sepak Liverpool, Jamie Redknapp sah bercerai isterinya, Louise yang juga bekas penyanyi kumpulan Eternal, hari ini.

The Sun melaporkan, pasangan tersebut berkahwin selama 19 tahun dan perpisahan secara rasmi di Mahkamah Keluarga London itu  sekali gus menamatkan spekulasi pergolakan rumah tangga mereka pada Oktober lalu.

Mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Charley, 13, dan Beau, 9, dan kata sepakat telah dicapai berhubung hak penjagaan.

Oktober lalu, Louise, 43, mengesahkan dia telah berpisah dengan Jamie.

Malah, Louise secara terbuka memberitahu dia hilang identitinya selepas berkahwin dengan Jamie.

Dalam temubual dengan Telegraph, Louise berkata, dia mahu kembali menjadi diri sendiri selepas menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk menggembirakan hati orang lain.

Louise berkata, perkara paling sukar adalah apabila terpaksa keluar dari rumah ketika masih ada perasaan cinta terhadap bekas suaminya itu.

Khabar angin mengenai perpisahan mereka bertiup kencang selepas Louise didakwa melantik bekas rakan tarinya, Kevin Clifton sebagai koreografer rasmi untuk penampilan semulanya di pentas hiburan.

Malah kedua-dua dilihat menghabiskan masa bersama di sebuah bar di London minggu lalu.

Difahamkan isteri Kevin, Karen turut berhubung dengan Jamie untuk memberitahu mengenai hubungan suaminya dengan Louise.

Kevin dan Karen berkahwin pada Julai 2015 tetapi hubungan mereka dilaporkan mula berantakan sejak awal tahun ini. – MalaysiaGazette