DUBAI – Pemain Bola Sepak Terbaik Globe menjadi milik bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo apabila dinobatkan untuk tahun kedua berturut-turut dan keempat keseluruhan.
Pemain Portugal itu memenangi anugerah anjuran Persatuan Ejen-Ejen Bola Sepak Eropah (EFAA) dan Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA) berkenaan pada tahun 2011, 2014 dan 2016.
Bagaimanapun, pemain terbaik dunia itu tidak hadir untuk menerima trofi berkenaan di sini, semalam.
Namun Ronaldo tampil membuat ucapan menerusi siaran video.
Sambil berseloroh, Ronaldo berkata dia masih mempunyai banyak ruang untuk menambah koleksi trofi dimenanginya walaupun telah memenangi pelbagai anugerah.
Ronaldo membantu Real memenangi Liga Juara-Juara musim lalu.
Real turut dinobatkan sebagai kelab terbaik tahun ini dan Zinedine Zidane sebagai pengendali terbaik.
Francesco Totti dan Carles Puyol pula menerima anugerah karier pemain manakala Marcello Lippi diberikan anugerah karier kejurulatihan dan La Liga dinobatkan liga terbaik sementara Jorge Mendes sebagai ejen terbaik. – MalaysiaGazette