Datuk Dr Muhamad Farid Saad

PULAU PINANG – Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow diingatkan jangan bersikap angkuh dan sombong dengan meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjumpa kerajaan negeri bagi mendapatkan maklumat mengenai projek tambak laut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, Kon Yeow perlu sedar beliau hanyalah Exco kerajaan negeri dan bukannya Ketua Menteri untuk menggesa Menteri Kerajaan Pusat berjumpa kerajaan negeri.

Sebaliknya, kata beliau, Kon Yeow selaku Exco bertanggungjawab perlu menulis surat dan memohon pertemuan rasmi bersama Wan Junaidi supaya kerajaan negeri dapat memberi penjelasan berhubung projek tambak laut berkenaan.

Apatah lagi, tambah beliau, Wan Junaidi sendiri memaklumkan pihaknya tidak pernah menerima sebarang laporan teknikal berhubung projek tambak laut seluas 1,800 hektar berkenaan.

“Mungkin pada penggal pentadbiran depan jika DAP kembali berkuasa dan Kon Yeow dilantik Ketua Menteri, beliau boleh menjemput Wan Junaidi secara rasmi ke pejabatnya di tingkat 28 Komtar untuk minum kopi kerana mereka ‘kawan lama’ di Parlimen,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri menyifatkan Wan Junaidi tidak mempunyai pengetahuan lengkap berhubung hasrat kerajaan negeri menambak laut di Permatang Damar Laut di sini.

Sehubungan itu, jelas Kon Yeow, pihaknya akan mengemukakan satu laporan bagi menjelaskan berhubung isu yang dibangkitkan Wan Junaidi dalam tempoh seminggu.

Dalam masa sama, beliau meminta menteri berkenaan meneliti laporan yang dikemukakan kerajaan negeri kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu memahami projek berkenaan dengan lebih baik.

Sementara itu, Muhamad Farid mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang prihatin dengan suara bantahan majorit pihak khususnya nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini berhubung cadangan tambakan laut tersebut.

Malah, beliau mengulangi pendirian sekiranya Barisan Nasional (BN) berkuasa, kawasan laut seluas lebih 5,000 ekar di perairan selatan itu akan diwartakan sebagai taman laut kekal.

“Jika kawasan itu ditambak, ekosistem dan kehidupan lautnya akan musnah dan menyebabkan sumber makanan laut kita turut terjejas.

“Jangan kita berlaku zalim kepada alam sebab alam akan bertindak balas dan menyukarkan kehidupan kita pula,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast