Jurucakap SIAA, ,Nandha Durairaj pada sidang mediamajlis memorandum persefahamaan di Hotel Seri Pacific hari ini. Turut hadir, Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari, Ahli Dewan Negara merangkap Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International, Shahul Hameed Dawood dan Presiden GASIM, Vijay Emergency.

KUALA LUMPUR – Persatuan Artis India Selatan (SIAA) atau lebih mesra sebagai Nadigar Sanggam yang bakal menemui peminat Malaysia pada Januari depan tampil membuat kejutan apabila berikar menyalurkan sumbangan amal sebanyak RM100,000 kepada artis tempatan negara ini.

SIAA yang akan mengadakan acara gilang gemilang mereka, Natchathira Vizha 2018 di Stadium Bukit Jalil pada 6 Januari ini akan turut memberikan platform kepada artis tempatan untuk bersama-sama menjayakan acara tersebut.

Menurut jurucakap SIAA, pelakon terkenal, Nandha Durairaj, pihaknya teruja untuk tampil membuat sumbangan tersebut selepas hasil perbincangan daripada beberapa pemimpin negara yang turut berusaha keras untuk mengetengahkan artis negara ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sebelum ini ada juga desas desus mengatakan pihak kami cuba menyeleweng wang dan menganiayai artis tempatan melalui acara anjuran SIAA, kami kemudian didekati oleh beberapa pemimpin negara ini untuk membantu kami.

“Hasil perbincangan kami, idea positif selain daripada gambaran sebenar apakah yang sedang berlaku dengan para artis di negara ini dapat di lihat oleh kami. Oleh yang demikian, hasil daripada keuntungan kita melalui Natchathira Vizha 2018, kita sebulat suara mahu tampil membantu.

“Spekulasi yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebenarnya tidak benar dan kami pasti anda juga nampak akan kebenaran itu. Sudah tentu kebajikan serta masa depan artis tidak kira di India atau luar India adalah penting buat kita,” katanya kepada media pada majlis memorandum persefahamaan di Hotel Seri Pacific semalam.

Tambah beliau, sebelum ini, pihaknya pernah mengadakan acara seumpama itu dengan tema Nadigar Sangam Natchathira Cricket pada tahun lalu di Chennai dan mendapat sambutan luar biasa daripada lebih 50,000 peminat India menghadirinya.

Antara pemimpin yang turut membantu SIAA dalam merealisasikan impian ini termasuk Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari, Ahli Dewan Negara merangkap Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International, Shahul Hameed Dawood dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Nachathira Vizha 2018 akan menghimpunkan lebih 300 artis India Selatan terkemuka gabungan pelakon filem Tamil, Telugu, Malayalam; penyanyi dan pengarah muzik serta artis India tempatan Malaysia.

Acara mega itu dianjurkan oleh SIAA dengan kerjasama MyEvents International serta mendapat sokongan sepenuhnya oleh Malaysia Major Events, anak syarikat di bawah Kementerian Pelancongan diyakini dapat mewujudkan pelbagai kerjasama dalam industri perfileman Tamil tempatan bersama negara pengeluar filem terbesar di dunia itu.

Nachathira Vizha 2018 bakal menghiburkan para peminat dengan persembahan nyanyian, tarian serta perlawanan selebriti kriket dan selebriti bola sepak oleh artis India dan tempatan dengan jangkaan lebih 30,000 untuk membanjiri Stadium Bukit Jalil.

Menariknya, dua bintang terbesar Kollywood, ‘Superstar’ Rajikanth dan ‘Ulaga Nayagan’ Kamal Hassan akan turut serta menghiburkan peminat dengan tiket semurah RM10 sehingga RM30 seorang.

Menurut penganjur, Shahul Hameed Dawood, perancangan untuk mengadakan acara tersebut bermula sejak empat bulan lalu.

“Pada mulanya, saya menghantar proposal menjemput SIAA untuk menganjurkan acara itu di negara ini dengan harapan sedikit sebanyak dapat mempromosi nama Malaysia di peringkat antarabangsa kerana acara ini bukan hanya dilihat sebagai hiburan semata-matanya tetapi mampu menyumbang kepada pembangunan negara dari segi aspek ekonomi dan pelancongan.

“Malah, menerusi pendekatan ini juga, artis India tempatan berpeluang terlibat sama sekali gus mengorak langkah lagi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Shahul pada masa yang sama turut menyeru kepada masyarakat umum terutamanya pengguna media sosial supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak betul berhubung acara tersebut.

“Ini bukan acara untuk mencari keuntungan semata-mata sebaliknya memberikan yang terbaik kepada rakyat terutamanya kepada peminat Kollywood India. Ini bukan acara calang-calang, ramai yang telah bertungkus lumus bagi merealisasikan impian ini.

Dalam pada itu, wang sumbangan RM100,000 akan disampaikan kepada Gabungan Persatuan Persatuan Seni India Malaysia (GASIM) yang dipayungi oleh 23 badan bukan kerajaan (NGO) kesenian negara ini.

GASIM melalui Presidennya, Vijay Emergency turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung SIAA, actor Vishal bersama-sama Vell Paari selain daripada menandatangani Memorandum Persefahamaan di Chennai baru-baru ini.

Nachathira Vizha 2018 turut mengetengahkan aktor-aktor terkenal seperti Surya, Vishal, Karthi, Sivakarthikeyan, Vijay Sethupathi, Aarya, Jeeva, Nayanthara, Tamanna dan Hansika serta pelakon veteran antaranya Mohal Lal, Venkatesh, Chiranjeevi, Nagarjuna dan Mammooty dalam acara itu.

Persembahan khas enam pengarah muzik terkenal iaitu Harris Jayaraj, Anirudh Ravichandra, Srikanth Deva, GV Prakash, Tamman dan Imman bersama penyanyi utama antaranya Karthik, Haricharan, Swetha Mohan, Ranjith, Naresh Iyer, Krish, Andrea, Chinmayee turut mewarnai acara tersebut.

 

Vijay Emergency turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung SIAA, actor Vishal bersama-sama Vell Paari selain daripada menandatangani Memorandum Persefahamaan di Chennai baru-baru ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast