Tun Dr. Mahathir Mohamad.

SHAH ALAM – Minta maaf itu adat orang Melayu kerana kita tidak tahu jikalau ada kesalahan yang dilakukan dalam setiap perkara, lebih-lebih lagi ketika saya memerintah negara selama 22 tahun lalu.

Demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengejutkan semua pihak kerana secara terbuka meminta maaf kepada semua pihak termasuk mereka yang pernah menjadi mangsa kezalimannya ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Sebagai seorang Melayu, kita patut rendahkan diri kita selepas kita berucap ataupun kita buat sesuatu. Kita kena minta maaf kerana kemungkinan apa yang kita lakukan salah dalam pandangan orang,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersorak sambil mengangkat tangan tanda sempurnanya perhimpunan sambil diiringi Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk tiga kiri), Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk dua kanan), Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman (duduk kanan) dan Ahli Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 DISEMBER 2017

Beliau berkata demikian mengulas kenapa beliau dalam ucapan dasarnya awal pagi tadi buat pertama kali dalam memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia selepas melepaskan jawatan perdana menteri dan menyertai pembangkang.

Mahathir selaku pengerusi PPBM juga menjelaskan permohonannya itu tidak hanya ketika beliau mentadbir negara bahkan sejak beliau memasuki dunia politk tanahair sebelum merdeka.

“Saya kata selama saya berkecimpung dalam politik sejak tahun 1945,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast