KUALA LUMPUR – Semakin panas nampaknya perang mulut antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Terbaharu seorang ahli politik PKR menegur ‘jangan tamak’ terhadap Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff.
Ia susulan kenyataan Rais Hussin yang mendakwa isu pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan keutamaan Pakatan Harapan (PH).
Tidak senang dengan kenyataan itu, bekas ahli parlimen Balik Pulau PKR, Yusmadi Yusoff memberi peringatan kepada PPBM supaya tidak menjadi seperti ‘Belanda dapat tanah’.
“Pepatah Melayu sering mengingatkan adab orang Melayu agar tidak menjadi seperti ‘Belanda dapat tanah’ yang bukan sahaja lupa budi orang memberi ruang tanah tersebut malah menjajah pemilik asal tanah tersebut,” beliau dipetik berkata.
Yusmadi juga memerli Rais Hussin dengan mengatakan mungkin kerana baharu dalam perjuangan rakyat menyebabkan beliau gagal memahami isu melibatkan pembebasan Anwar.
“Mungkin Rais gagal memahami isu ini kerana baru bersama-sama menyertai perjuangan rakyat yang mungkin asing kepada beliau.
“Mungkin yang membezakan perjuangan PKR dan apa yang difahami oleh Rais ialah perubahan demokratik di bawah pimpinan Anwar dan perjuangan semata-mata untuk menggantikan PM sekarang,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette