KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Kelantan hari ini menafikan anak Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub ditahan berkaitan kes dadah.
Setiausaha Akhbarnya, Mohd Asri Mat Daud berkata, berita yang tular dan tersebar menerusi laman sosial Facebook serta aplikasi Whasap sejak semalam itu, tidak benar sama sekali.
Sebaran itu, kata beliau, lebih kepada berniat jahat dan sengaja hendak memburuk-burukkan maruah Menteri Besar Kelantan serta keluarganya.
“Pihak yang suka menyebarkan sebaran palsu dan fitnah ini diajak kembali kepada ajaran Islam dan gerun kepada ancaman neraka kerana sengaja mencipta pembohongan untuk meraih sokongan politik serta menjatuhkan orang lain,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.
November lalu, kepimpinan politik Kelantan dikejutkan dengan penahanan anak lelaki Pengerusi Parti Amanah Kelantan (PAN), Datuk Husam Musa yang didakwa memiliki 20 gram metamphetamine.
Ahmad Syafi Husam, 29, ditangkap di rumahnya di Kampung Jelutong, Jalan Pasir Mas-Salor dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Selepas itu, kecoh pula berita terbaharu kononnya anak lelaki Menteri Besar Kelantan turut ditahan kerana memiliki dadah.
Menurut Mohd Asri, zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penularan media baharu pada hari ini menjadikan sebaran fitnah serta pembohongan tersebar dengan pantas ke seluruh pelosok dunia.
Beliau menasihatkan kepada penyebar fitnah berhenti daripada perbuatan keji itu dan bertaubat serta memohon maaf kepada Menteri Besar. – MalaysiaGazette