KUALA LUMPUR – Agenda perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah untuk menobatkan kembali Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya pembangkang menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, selama ini apa yang dikatakan mantan perdana menteri itu kononnya penubuhan PPBM untuk memperjuangkan agenda rakyat adalah pembohongan dan karut belaka.
Kata beliau, jelas sekali tuntutan dibuat PPBM sebagaimana disuarakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah agenda bapanya yang kemaruk kuasa mempertahankan legasi dan kroninya untuk berkuasa di negara ini.
“Pada awal ucapan perhimpunan agung kali pertama parti itu, kononnya penuh dengan perjuangan untuk rakyat sehingga sanggup memohon maaf dan mengakui kesilapan sepanjang lebih 22 tahun mentadbir negara.
“Tetapi di penghujung perhimpunan, bangkit si anak (Mukhriz) yang secara terbuka menuntut jawatan perdana menteri serta mendabik dada bapanya adalah individu paling layak menjadi perdana menteri.
“Sesungguhnya kebenaran itu berada di hadapan dan akhirnya terbukti agenda perjuangan PPBM tidak lain tidak bukan adalah untuk menobatkan kembali Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Sohaimi, perhimpunan agung PPBM itu adalah strategi terakhir yang terpaksa dilakukan Mahathir untuk terus kembali berkuasa selepas cubaan yang dilakukannya di belakang Datuk Seri Najib Razak Tun Razak sebelum ini gagal.
“Kegagalan itu disebabkan kerana Najib lebih mementingkan agenda rakyat berbanding kehendak peribadi Mahathir,” katanya. – MalaysiaGazette