KUALA LUMPUR – Harga RON95 stesen minyak di Malaysia dan Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini tidak banyak berbeza berikutan tindakan kedua-dua negara itu menaikkan harga bahan bakar tersebut pada 1 Januari 2018.
Kenaikan harga bahan bakar itu di kedua-dua negara pengeluar minyak itu juga disebabkan pengenalan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).
Kini RON95 di Arab Saudi ialah Riyal 2.04 (RM2.21) seliter dan Dirham 2.12 (RM2.36) di UAE seliter manakala harga bahan bakar itu di Malaysia ialah RM2.26 seliter bagi tempoh 28 Disember 2017 hingga 3 Januari 2018.
Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), Datuk Eric See-To berkata, menurut laporan Reuters Saudi Gazette, selain GST yang dikenakan sebanyak lima peratus, Arab Saudi turut menaikkan tarif elektrik sebanyak tiga kali ganda dan lebih dua kali ganda untuk RON95 pada 1 Januari 2018.
“Kini RON95 dijual pada harga Riyal 2.04 (RM2.21) seliter berbanding Riyal 0.90 (98 sen) seliter,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, pada 1 Januari 2016 Arab Saudi telah menaikkan harga RON95 sebanyak 50 peratus kepada Riyal 0.90 daripada Riyal 0.60.
See-To menambah, UAE turut mengenakan GST sebanyak lima peratus terhadap RON95 pada 1 Januari 2018 yang menyaksikan peningkatan harga bahan bakar itu meningkat kepada RM2.36 seliter pada bulan ini berbanding RM2.24 seliter.
Tidak seperti di Malaysia, harga RON95 di UAE dan Arab saudi termasuk GST kerana petrol tidak dikecualikan cukai di kedua-dua negara berkenaan.
“Menerusi tindakan yang diambil itu, harga petrol RON95 di Arab Saudi rendah sedikit daripada Malaysia manakala harga di UAE pula hampir sama dengan Malaysia,” jelas beliau.
See-To berkata, tidak berapa lama dahulu harga RON95 di Arab Saudi dan UAE lebih murah daripada Malaysia memandangkan kedua-dua negara itu mengeluarkan minyak berpuluh-puluh kali ganda daripada Malaysia. – MalaysiaGazette