Sebahagian murid tahun satu disambut oleh Mickey Mouse dan Olaf pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2018.

PUCHONG– Bersempena permulaan sesi persekolahan hari ini di seluruh negara, pelbagai cara dilakukan sekolah bagi menyambut kedatangan murid-murid tahun satu.

Seringkali kita akan melihat drama tangisan, murid tidak mahu ditinggalkan oleh ibu bapa kerana takut di hari pertama persekolahan sungguhpun senario itu semakin berkurangan.

Justeru untuk menangani masalah sering berlaku setiap tahun, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Putra Perdana memecah tradisi membuat kelainan pada kali ini dengan menyambut murid-murid yang baru memasuki alam persekolahan dengan maskot Mickey Mouse dan Olaf.

Menurut Guru Besar sekolah tersebut, Rohaidah Mohd Ali idea tersebut tercetus apabila salah seorang guru di situ menawarkan diri untuk menjadi maskot pada pembukaan sesi persekolahan tahun ini demi menceriakan murid tahun satu.

Tambahnya, bertepatan dengan program guru penyayang di SK Taman Putra Perdana yang mana murid akan disambut oleh guru di pintu pagar pada setiap hari, namun hari ini lebih istimewa.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Rohaidah Mohd Ali. foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2018.

“Idea ini timbul apabila ada salah seorang guru di sini yang menyatakan cara ini boleh digunakan untuk menyambut murid. Cikgu sendiri yang memakai maskot tersebut

“Apa yang saya nampak suasana hari ini sangat ceria untuk menimbulkan perasaan murid ke sekolah tak takut. Tak menangis. Kalau sebelum ini kita mengamalkan program guru penyayang yang mana murid akan disambut oleh guru yang bertugas setiap hari. Keistimewaan hari ini lebih kepada ada maskot,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Temubual bersama maskot, Haris Safwan Yaakob, 32 yang merupakan guru Pendidikan Islam yang terlibat dalam sambutan murid Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 02 JANUARI 2018.

Dalam pada itu, Guru Pendidikan Islam, Haris Safwan Yaakob yang merupakan watak di sebalik maskot Olaf ketika ditemui berpuas hati dengan kelainan yang dicetuskan sekolah itu apabila melihat murid-murid tahun satu kelihatan ceria pada hari pertama mereka.

Haris yakin murid-murid tidak mempunyai masalah ‘mood’ untuk terus ke sekolah selepas ini.

“Kalau kita tengok murid tahun satu setiap tahun selalunya mereka ini takut nak ke sekolah, sebelum ini tidak ke tadika atau tidak pernah ke sekolah. Mungkin ada yang boleh biasakan diri di hari petama tapi ramai yang belum boleh biasakan diri,” katanya.

Maskot Mickey Mouse membuka pintu van sekolah untuk menyambut murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 02 JANUARI 2018.

Bagi Haris, oleh kerana ia untuk kebaikan murid-murid maka tidak ada masalah sekiranya pemakaian maskot ini diteruskan setiap tahun bukan sahaja di SK Taman Putra Perdana bahkan juga di sekolah lain.

Temubual bersama Shupashini Ikramalinggam, 29 ibu kepada salah seorang pelajar di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 02 JANUARI 2018.

Sementara itu, Suhupashini a/p Ikramalinggam, 29, yang menemani anaknya memulakan persekolahan hari ini menambah, suasana ini bukan sahaja mengundang rasa semangat dalam kalangan murid-murid bahkan kepada ibu bapa juga.

“Yang rasa takut dan sedih melepaskan (anak) ialah saya. Dia tak menangis pun sebab anak saya sudah dua tahun ke tadika sebelum masuk darjah satu ni. Tak ada masalah buat dia. Ditambah lagi apabila ada maskot hari ini, dia nampak tak kekok.

“Apatah lagi ada maskot, kami pun suka bukan anak je,” katanya.

Temubual bersama Intan Izian Roslan, 32, ibu kepada salah seorang pelajar di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 02 JANUARI 2018.

Intan Izian Roslan, 32 berpendapat cara ini bukan sahaja unik namun percubaan kali pertama ini memberikan kesan positif kepada ‘mood’ anaknya.

“Cara ini bagus buat budak-budak tertarik, jadi di hari pertama mereka tidaklah sedih. Mereka akan teransang lagi untuk terus ke sekolah kan. Baguslah,” katanya.

Direkodkan seramai 420 murid darjah satu yang didaftarkan di sekolah itu dan menurut Rohaidah, ia merupakan jumlah terbanyak berbanding sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast