Naib Presiden Pas, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Semakin banyak Lim Guan Eng menyerang dan melabelkan Pas sesat kerana memperjuangkan Islam semakin baik imej parti itu di mata masyarakat termasuk kepada bukan Islam.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, belum pun Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan DAP memerintah negara, mereka sudah gemar menabur fitnah – lebih-lebih lagi kepada pemimpin Islam dan Melayu dalam Pas dan UMNO.

“Lagi banyak Guan Eng serang Pas lagi baik. Biar masyarakat Malaysia tahu siapa Guan Eng dan DAP sebenarnya. Tidak perintah Malaysia sudah bersikap demikian.

“Baru perintah satu negeri sudah tunjuk belang sebenar. Tindakan ini bukan sahaja akan menimbulkan kemarahan orang Melayu malahan juga orang bukan Melayu.

“Sikap angkuh seperti in tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris mengulas kenyataan setiausaha agung DAP itu semalam yang menyifatkan Pas sesat selepas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar dari Pas semalam.

Guan Eng turut menyindir Pas kerana UMNO memuji parti itu sebagai parti pembangkang yang baik.

Idris selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mempersoalkan serangan Guan Eng itu yang dilihat tidak dapat menerima pendirian Pas yang enggan menuruti telunjuk parti cauvanis itu ketika bersama Pakatan Rakyat.

“Amat menarik kenyataan daripada Guan Eng mangatakan Pas parti sesat, mungkin DAP parti apa pula? Sesat di neraca Guan Eng apabila tidak boleh dicucuk hidung oleh DAP?

“Tidak mengapalah kalau hendak tuduh Pas sesat kerana menentang pesta arak, gay, LGBT, ateis, anti hadis,” tegasnya.

Katanya lagi, Guan Eng digesa merujuk kepada lidah rasmi parti Islam itu sebelum membuat kenyataan berbaur fitnah dan tidak berasas.

“Kalau benci sangat pun biarlah buat tuduhan yang berasas. Jangan rujuk akhbar lain yang memang tidak melaporkan mengenai Pas.

“Kalau inilah PH memerintah negara, sama sahaja atau lebih teruk daripada kerajaan BN. Rakyat, keluar mulut buaya masuk mulut harimau. Belum perintah sudah tunjuk sikap yang tidak memaparkan sikap adil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast