KUALA LUMPUR – PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) dipercayai mengambil langkah berhati-hati dalam operasi pengurusannya berikutan tempoh perjanjiannya dengan kerajaan sebagai pemegang permit tunggal pengimport beras dalam negara sehingga tahun 2021 semakin hampir.
Sumber-sumber berkata, ini kerana sehingga hari ini belum ada tanda-tanda status dan kedudukan Bernas sebagai pemegang permit tunggal pengimport beras negara itu dapat dipertahankan.
Ini kerana terdapat spekulasi bahawa beberapa pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan membabitkan industri pertanian turut mengintai peluang untuk berkongsi ‘kek’ yang sama dengan Bernas.
Kata sumber, meskipun wujud pelbagai spekulasi kononnya kontrak itu akan disambung oleh kerajaan namun perkara itu masih belum disahkan.
Lantaran itu, pihak pengurusan Bernas dilaporkan cukup berhemah dalam melaksanakan bajet perbelanjaan modal jangka sederhana untuk mengelakkan sebarang risiko dan ketidaktentuan.
Malah, pelan strategi syarikat juga akan dilaksanakan mengikut tempoh perjanjian.
Bernas yang mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) telah diswastakan pada 1 Januari 1996 sebagai penjaga industri padi dan beras tempatan.
Di bawah Perjanjian Penswastaan yang ditandatangani dengan kerajaan pada tahun 1996, selain bertindak sebagai pengedar beras, Bernas dipertanggungjawabkan untuk menyelenggaraan stok beras negara, yang bertindak sebagai pembeli jalan terakhir untuk petani padi, menguruskan Skim Pengilang Padi Bumiputera dan pengagihan Harga Padi Subsidi kepada petani bagi pihak kerajaan.
Dan, Kerajaan Persekutuan telah memanjangkan tempoh pengedaran beras selama 10 tahun bermula dari 11 Januari 2011 hingga 10 Januari 2021.
Sumber berkata, sudah tentu usaha-usaha dijalankan untuk memastikan lanjutan kontrak dilakukan oleh syarikat namun sebarang keputusan masih terpulang kepada kerajaan.
Sebelum ini, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pernah menggesa kerajaan melantiknya sebagai ejen membeli padi terus daripada pesawah ekoran dakwaan kesukaran menjual padi kepada Bernas.
Nafas mendakwa pada masa ini hanya Bernas memonopoli pembelian padi daripada pesawah selepas pihak swasta enggan membeli padi.
Ogos tahun lalu, Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung pula mendedahkan hasrat kerajaan untuk memperbaharui kontrak Bernas ‘buat selama-lamanya’ melalui surat kepada pemegang saham Bernas.
Namun, dakwaan itu tidak dijawab oleh mana-mana pihak – baik kerajaan mahu pun Bernas. – MalaysiaGazette